Pada 5 September 2015 yang lepas, seramai 31 orang pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Islam Al Amin Bestari D'Merlimau telah menyertai program yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah atau MOZAC. Program Physics Quest anjuran MOZAC ini telah disertai juga oleh beberapa sekolah yang lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba, Kolej Yayasan Saad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent.
31 orang pelajar Al Amin Bestari yang mengikuti program tersebut telah didedahkan kepada lebih 40 eksperimen yang berkaitan dengan topik-topik bagi mata pelajaran fizik yang telah mereka pelajari di dalam kelas. Eksperimen-eksperimen tersebut telah dijalankan oleh para pelajar sekolah MOZAC sendiri dan sekolah-sekolah lain yang terlibat perlu bertindak sebagai pemerhati.
Pelbagai eksperimen menarik telah berjaya didemonstrasikan seperti penggunaan kanta cembung dan kanta cekung, pembiasan cahaya,momentum, inersia dan banyak lagi. Kesemua para pelajar Al Amin Bestari yang terlibat pastinya telah dapat menambah pengetahuan serta pemahaman mereka berhubung dunia fizik secara praktikal.
Diharap dengan penglibatan mereka dalam program Physic Quest ini dapat membantu mereka lagi untuk mendapat keputusan yang cemerlang bagi subjek fizik dalam peperiksaan SPM yang bakal mereka duduki.